TASEK PAUH blogspot

Pembersihan Aqidah Pemurnian Ibadah (PAPI) bersama Us TUAN MOHD SAPUAN TUAN ISMAIL.


Kesan Keimanan Kita Kepada Nabi Muhammad s.a.w.

Rabiul awwal telah berlalu pergi. Kemeriahan sambutan maulidur rasul mula sepi. Kesan sambutan samalah seperti tahun-tahun sebelumnya. Walau bagaimanapun, ia merupakan salah satu daripada cara untuk mengingati dan memupuk kecintaan kepada junjungan besar kita Nabi Muhammad s.a.w. Apa sekalipun, bagi yang beriman dengan Nabi Muhammad s.a.w., kesan keimanannya sentiasa segar, samada pada rabiul awwal atau lainnya. Ini kerana keimanan dan kecintaan kepada baginda sudah terpahat di hati dan ia adalah untuk selamanya. Namun, apakah kesan keimanan tersebut?

Antara kesan keimanan kita kepada Nabi Muhammad s.a.w. ialah:

Pertama: Mencintai Baginda s.a.w.

Kecintaan kepada Rasulullah s.a.w. hendaklah dengan sepenuh hati mengatasi kecintaan kepada diri sendiri, anak, isteri, ibu bapa bahkan siapa sahaja manusia di dunia ini.

Anas r.a. meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w. bersabda:

لاَ يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى أَكُوْنَ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِنْ وَالِدِهِ وَوَلَدِهِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِيْنَ.

Ertinya: “Tidak beriman seseorang kamu sehinggalah aku lebih disayanginya melebihi ibu bapanya, anak-anaknya dan manusia keseluruhannya”. Hadis riwayat Bukhari dan Muslim. Imam Bukhari meriwayatkan bahawa pernah satu kali, Saidina Umar berkata kepada Rasulullah s.a.w.: “Wahai Rasulullah, engkaulah orang yang paling aku sayangi, melebihi segala-galanya, kecuali diriku”. Lalu Rasulullah s.a.w. menjawab: “Tidak wahai Umar. (Tidak sempurna imanmu) Sehinggalah aku lebih disayangi melebihi dirimu sendiri. Lalu Saidina Umar berkata: “Sekarang , wahai Rasulullah, engkaulah orang yang paling aku sayangi, melebihi diriku sendiri”. Lalu Rasulullah s.a.w. menjawab: Ya, baru sekarang sempurna imanmu, Wahai Umar”.

Sudah tentu satu cinta tidak akan terhenti dengan hanya berada di hati, tanpa sebarang kesan tindakan. Apatah lagi kecintaan kepada kekasih Allah, iaitu Nabi Muhammad s.a.w. Hasil daripada kecintaan ini akan menyebabkan seorang yang beriman akan sentiasa mengingati baginda, menyebut-nyebut nama baginda, berselawat kepadanya di samping sentiasa berusaha untuk beramal dengan ajaran baginda dan mencontohinya.

Kerana inilah para mukmin akan sentiasa mempelajari sunnah Nabi s.a.w., mangamalkannya, menyebarkannya dan berselawat kepadanya. Firman Allah SWT:

﴿ إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا

Ertinya: “Sesungguhnya Allah dan para malaikatNya berselawat ke atas Nabi. Wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu ke atas Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan (yang baik) kepadanya”. Surah al-Ahzab: 56. Mereka akan sentiasa berselawat kepada baginda kerana cinta mereka mendorong mereka untuk berada dekat bersama Rasulullah s.a.w. Dan Rasulullah s.a.w. pernah menyatakan bahawa orang yang paling dekat dengan baginda di hari kiamat ialah orang yang paling banyak berselawat kepadanya. (Hadis dhoif, riwayat Tirmizi daripada Abdullah bin Mas’ud r.a.).

Cinta kepada Rasulullah s.a.w. bagi seorang yang beriman merupakan satu fitrah keimanannya. Ia adalah suci dan lahir dari lubuk hati yang suci. Ia bukanlah mainan lidah. Ia juga bukan hanya tulisan pada sepanduk. Ia bukan hanya slogan semasa perayaan dan perarakan. Namun, ia adalah cinta yang pengorbanannya mesti dizahirkan. Kerana inilah nilai cinta kepada Rasulullah s.a.w. amat tinggi. Dan memang ia tidak ternilai harganya. Anas bin Malik meriwayatkan bahawa pernah seorang lelaki bertanya Rasulullah s.a.w. “Bilakah kiamat”? Rasulullah s.a.w. menjawab: “Apakah persediaanmu untuknya”? Lelaki itu berkata: “Aku tidaklah bersedia untuknya dengan banyak bersolat, tidak juga dengan banyak berpuasa dan tidak juga dengan banyak bersedekah. Namun persediaanku untuknya ialah dengan aku mencintai Allah dan Rasul”. Lalu Rasulullah s.a.w. menjawab: “Engkau akan bersama dengan orang yang engkau sayangi”. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Lihatlah betapa tingginya nilai kecintaan kepada Rasulullah s.a.w. Dengan mencintai Rasulullah s.a.w. ikhlas dari lubuk hati, kita akan bersama dengan Rasulullah s.a.w.. Kerana inilah Anas bin Malik r.a. menyatakan: “Tidaklah kami terlalu gembira sebagaimana gembiranya kami mendengar baginda bersabda: “Engkau akan bersama dengan orang yang engkau sayangi”. Dan aku mencintai Nabi s.a.w., Abu Bakar dan Umar. Dan aku berharap akan dapat bersama dengan mereka dengan kecintaanku kepada mereka, sekalipun aku tidak mampu beramal sebagaimana amalan mereka”.

Adakah kita sudah mencintai Rasulullah s.a.w. dari lubuk hati kita? Menangislah dan titiskanlah air mata penyesalan kalau kita masih belum menicintai Allah dan Rasul. Menangislah kalau kita masih belum meletakkan ajaran Allah dan Nabi mengatasi ajaran-ajaran yang lain, kerana sebenarnya kita tidak mencintai Rasulullah s.a.w., bahkan adalah orang yang fasiq yang tidak mendapat hidayah Allah SWT. Firman Allah SWT:

﴿ قُلْ إِنْ كَانَ آبَاؤُكُمْ وَأَبْنَاؤُكُمْ وَإِخْوَانُكُمْ وَأَزْوَاجُكُمْ وَعَشِيرَتُكُمْ وَأَمْوَالٌ اقْتَرَفْتُمُوهَا وَتِجَارَةٌ تَخْشَوْنَ كَسَادَهَا وَمَسَاكِنُ تَرْضَوْنَهَا أَحَبَّ إِلَيْكُمْ مِنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ وَجِهَادٍ فِي سَبِيلِهِ فَتَرَبَّصُوا حَتَّى يَأْتِيَ اللَّهُ بِأَمْرِهِ وَاللَّهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الْفَاسِقِينَ

Ertinya: “Katakanlah: "Jika ibu-bapamu , anak-pinakmu , adik beradikmu, isteri-isterimu, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu bimbangi kerugiannya, dan rumah-rumah kediaman yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan RasulNya dan daripada berjihad di jalanNya, maka tunggulah sampai Allah datangkan keputusanNya". Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik”. Surah al-Taubah: 24.

Dan kesan kecintaan kepada Rasulullah s.a.w. inilah yang akan membuahkan kesan-kesan keimanan yang lain.

Kesan Kedua: Mentaati Baginda S.A.W.

Mentaati baginda mestilah didahulukan dengan menerima segala ajaran baginda, di samping menghormati baginda, tidak menyakiti baginda dan juga orang-orang kesayangan baginda seperti para isteri dan sahabat baginda. Ketaatan kepada baginda merupakan ketaatan kepada Allah SWT, sebagaimana kecintaan kepada baginda adalah kecintaan kepada Allah SWT. Firman Allah SWT:

﴿ مَنْ يُطِعِ الرَّسُولَ فَقَدْ أَطَاعَ اللَّهَ

Ertinya: “Sesiapa yang mentaati Rasul, sesungguhnya dia telah mentaati Allah”. Surah an-Nisa’: 80. Rasulullah s.a.w. juga pernah bersabda:

من أطاعني فقد أطاع الله، ومن عصاني فقد عصى الله. متفق عليه. رواه البخاري (6718) ومسلم (1835).

Ertinnya: “Sesiapa yang mentaatiku maka sebenarnya dia telah mentaati Allah, dan sesiapa yang derhakanku, maka sebenarnya dia telah menderhakai Allah”. Riwayat Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah r.a.

Kerana inilah bila Rasulullah s.a.w. menetapkan sesuatu hukum, samada dalam urusan ibadat, munakahat, hudud dan sebagainya, maka tidak ada bagi kita pilihan lain selain mengambilnya dan mentaatinya. Inilah sikap orang yang beriman. Dan jika mengambil pilihan yang lain, maka itu bererti kita menderhakai Rasulullah s.a.w., dan kita bukanlah seorang yang beriman yang sebenar. Firman Allah SWT:

﴿ وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ وَلَا مُؤْمِنَةٍ إِذَا قَضَى اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَمْرًا أَنْ يَكُونَ لَهُمُ الْخِيَرَةُ مِنْ أَمْرِهِمْ وَمَنْ يَعْصِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ ضَلَّ ضَلَالًا مُبِينًا

Ertinya: “Dan tidaklah patut bagi para lelaki yang beriman dan tidak (pula) bagi wanita yang beriman, apabila Allah dan rasulNya telah menetapkan suatu ketetapan, ada bagi mereka pilihan (yang lain) dalam urusan mereka. Dan sesiapa menderhakai Allah dan rasulNya, maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang nyata”. Surah al-Ahzab: 36.

Kerana itu, bagi sesiapa yang memilih untuk memilih pilihan lain, selain ajaran Rasulullah s.a.w., maka hendaklah dia bimbangi akan apa yang akan menimpa dirinya. Ini kerana dia sebenarnya tidak beriman dengan sebenar keimanan kepada Rasulullah s.a.w. Firman Allah SWT:

﴿ فَلْيَحْذَرِ الَّذِينَ يُخَالِفُونَ عَنْ أَمْرِهِ أَنْ تُصِيبَهُمْ فِتْنَةٌ أَوْ يُصِيبَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ

Ertinya: “Maka hendaklah orang-orang yang menyalahi perintahnya (perintah Rasul), takut akan ditimpa fitnah atau ditimpa azab yang pedih”. Surah an-Nur: 63. Dan mengikut tafsiran Imam Ibn Kathir, fitnah di sini ialah wujudnya kekufuran, munafiq atau bid’ah di hati mereka. Kerana inilah Rasulullah s.a.w. menyatakan bahawa orang yang tidak mentaati baginda sebenarnya tidak ingin ke syurga. Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

كل أمتي يدخلون الجنة إلا من أبى، قالوا يا رسول الله ومن يأبى ؟ قال: من أطاعني دخل الجنة ومن عصاني فقد أبى. رواه البخاري. ج 6، ص 2655، رقم: 6851.صحيح البخاري، تحقيق: د.مصطفى البغا، ط 3، دار ابن كثير، اليمامة، بيروت، 1407هـ.

Ertinnya: “Semua umatku akan masuk syurga, kecuali yang enggan (memasukinya)”. Para sahabat bertanya: Siapakah yang enggan wahai Rasulullah? Baginda bersabda (menjawab): “Sesiapa yang mentaatiku maka dia akan masuk syurga, dan siapa yang engkar, maka dialah orang yang enggan (untuk masuk syurga)”. Hadis riwayat Bukhari.

Kesan Ketiga: Berjuang Membantu Sunnah Baginda S.A.W.

Antara kesan keimanan kepada baginda ialah berjuang membantu sunnah peninggalan baginda s.a.w. Di manakah sebenarnya keimanan kepada baginda jika mengaku mencintai Rasulullah s.a.w., mengaku mentaati baginda, namun tidak berjuang membantu ajaran yang dibawa baginda? Allah SWT berfirman:

﴿ فَالَّذِينَ آمَنُوا بِهِ وَعَزَّرُوهُ وَنَصَرُوهُ وَاتَّبَعُوا النُّورَ الَّذِي أُنْزِلَ مَعَهُ أُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ

Ertinya: “Maka orang-orang yang beriman kepadanya. memuliakannya, menolongnya dan mengikuti cahaya yang terang yang diturunkan kepadanya (Al Quran), mereka itulah orang-orang yang berjaya”. Surah al-A’raf: 157.

Dan berjuang membantu sunnah baginda itu ialah dengan perkara-perkara berikut:-

I- Mengenali Dan Mempelajarinya

Pepatah Melayu menyatakan: “Tak kenal, maka tak cinta”. Kerana itu, bagaimana mencintai Rasulullah s.a.w. kalau tidak mengenali baginda, dan tidak mengenali ajaran baginda? Atas dasar inilah para ulamak menganggap mempelajari hadis merupakan satu perkara yang sangat penting. Berkata Sufyan as-Sauri:

ما أعلم شيئا يُطلَب به الله عز وجل هو أفضل من الحديث.

Ertinya: “Aku tidak mengetahui suatupun yang dipersembahkan kepada Allah SWT melebihi (daripada mempelajari dan mengajar) hadis”. Bahkan, kerana inilah kita boleh melihat betapa kesungguhan golongan salaf mempelajari hadis. Ada di kalangan mereka yang sanggup mengharungi kesukaran, merentasi padang pasir, bermusafir beribu-ribu batu dan memakan masa berbulan-bulan demi mempelajari satu hadis sahaja. Sebagai contoh,perjalanan Jabir bin Abdillah al-Ansari ke Syam untuk bertemu Abdullah bin Unais r.a., . Begitu juga perjalanan Abu Ayyub al-Ansari ke Mesir untuk bertemu dengan Uqbah bin Amir r.a..

Mempelajari hadis menjadikan seolah-olah berada di sisi Nabi s.a.w. dan para sahabat. Kerana inilah ada ulamak tidak sanggup meninggalkan kitab-kitab hadis untuk berbual kosong dan sebagainya, kerana keasyikan mereka bersama Nabi s.a.w. dan para sahabat. Kerana inilah Imam Syafiei menyatakan: “Bila aku melihat seorang lelaki di kalangan “ashabul hadis”, maka seolah-olah aku melihat salah seorang sahabat Nabi s.a.w.”.

Ii- Beramal Dengannya

Tidak ada guna mempelajari sunnah Nabi s.a.w. kalau tidak mengamalkannya. Bahkan tujuan belajar sunnah Nabi s.a.w. bukanlah untuk maklumat semata-mata, tetapi untuk mengamalkannya. Orang yang beramal dengan ajaran baginda bererti mentaati baginda s.a.w.

Iii- Menyampaikan Sunnah Ini Kepada Orang Lain Dan Mengajak Mereka Mengamalkannya.

Ajaran Nabi s.a.w. mestilah disebarkan dan bukan hanya menjadi milik individu. Kerana inilah ganjaran yang sangat besar bagi mereka yang mengajarkan sunnah Nabi s.a.w. kepada orang lain. Dan mulakan dengan yang terdekat terlebih dahulu. Mulakanlah dengan anak isteri, seterusnya para jiran dan akhirnya peringkat nasional dan antabangsa. Rasulullah s.a.w. pernah mendoakan kebaikan kepada para penyebar hadis baginda, sekalipun kurang memahaminya. Ibnu Mas’ud r.a. meriwayatkan Nabi s.a.w. bersabda:

نضر الله امرأ سمع منا شيئا فبلغه كما سمع، فرب مبلغ أوعى من سامع. رواه أبو داود والترمذي وابن حبان وصححه الألباني. انظر صحيح الترغيب والترهيب، ج 1، ص 21.

Ertinya: “Allah akan menikmati seseorang yang mendengar sesuatu daripadaku (hadis), dan dia pula menyampaikannya (kepada orang lain) sebagaimana dia mendengarnya. Ramai juga di kalangan yang disampaikan itu lebih memahami daripada yang mendengarnya”. Hadis riwayat Abu Daud, Tirmizi dan lain-lain.

Iv- Mempertahankan Sunnah Ini Daripada Sebarang Perkara Yang Merosakkannya, Seperti Penambahan Atau Pengubahsuaian Dan Sebagainya.

Tidak dianggap membantu dan menyayangi sunnah baginda s.a.w. , kalau setakat mempelajari, beramal, menyebarkannya, tapi membiarkan ia dipersendakan, diperlekehkan, atau dibuang dan ditokok tambah. Ajaran Rasulullah s.a.w. mestilah sentiasa dipertahankan. Siapakah lagi yang akan mempertahankan ajaran baginda, jika tidak golongan yang mengaku beriman kepada baginda s.a.w.? Jadilah pejuang sunnah Rasulullah s.a.w., dan janganlah bersekongkol bersama dengan golongan yang menafikan atau mengenepikan ajaran baginda.

Kesan Keempat: Benar-Benar Ittiba’ Kepada Ajaran Baginda Dan Meninggalkan Bid’ah

Antara tanda keimanan kita kepada baginda s.a.w. juga ialah ittiba’, iaitu mengikuti sepenuhnya ajaran baginda tanpa sebarang bid’ah samada penambahan atau pengurangan. Aisyah r.a. menyatakan bahawa Nabi s.a.w. bersabda:

مَنْ أَحْدَثَ فِيْ أَمْرِنَا هَذَا مَا لَيْسَ مِنْهُ فَهُوَ رَدٌّ.

Ertinya: “Sesiapa yang mereka-reka dalam urusan kami ini (agama) satu perkara yang bukan daripadanya (ajarannya), maka ia (perkara tadi) ditolak (tidak diterima Allah)”. Hadis riwayat Bukhari dan Muslim. Bahkan ittiba’ ini merupakan tanda kecintaan kita kepada Allah SWT, yang menjadi syarat keimanan yang sebenar. Firman Allah SWT:

﴿ قُلْ إِنْ كُنْتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ

Ertinya: “Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mencintaimu dan mengampuni dosa-dosamu". Dan Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”. Surah Ali Imran: 31.

Inilah ia, sebenarnya pengakuan keimanan kita kepada Nabi Muhammad s.a.w. Ia membuahkan kecintaan, ketaatan dan perjuangan yang berterusan. Renungkanlah sejenak. Adakah kita sebenarnya memang beriman dengan Nabi s.a.w.? Dan kalau sudah, sejauh manakah keimanan kita itu? Adakah kita pengikut yang setia baginda s.a.w,? Yang sanggup rebah dan bangun bersama ajaran baginda? Atau kita hanya mengambil ajaran baginda jika hanya ia tidak menyusahkan kita? Juga renungkanlah di manakah kita jika dibandingkan dengan para sahabat yang telah menunjukkan kecintaan yang sebenar kepada Nabi Muhammad s.a.w. Mereka bukan setakat berebut-rebut untuk mengambil berkat daripada air wudhuk Nabi s.a.w., bahkan ramai di kalangan mereka yang gugur syahid mempertaruhkan nyawa, demi berjuang bersama baginda untuk menegakkan ajaran baginda di muka bumi ini. Di manakah sebenarnya kita?

Contohilah Rasulullah s.a.w.. Kerana bagindalah contoh ikutan yang sebenar. Firman Allah SWT:

﴿ لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا

Ertinya: “Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu contoh teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan banyak mengingati Allah”. Surah al-Ahzab: 21.

Berakhlahlah dengan akhlak baginda, kerana ia adalah aklah yang sudah diakui Allah SWT. Firman Allah SWT:

﴿ وَإِنَّكَ لَعَلَى خُلُقٍ عَظِيمٍ

Ertinya: “Dan sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) benar-benar berada dalam akhlak (budi pekerti) yang agung”. Surah al-Qalam: 4. Dan akhlak baginda ialah al-Qur’an keseluruhannya. Inilah penerangan Saidatina Aisyah r.a., tentang akhlak baginda, bila ditanya tentangnnya. (Hadis sohih riwayat Ahmad). Mencontohi akhlak baginda bererti kembali mengamalkan al-Qur’an secara meyeluruh dalam segala aspek. Contohilah akhlak baginda, dan kembalilah kepada ajaran al-Quran keseluruhannya. Dan hayatilah perjuangan para sahabat, yang merupakan pencinta baginda, dan contohilah mereka. Jadilah pejuang sunnah, bahkan yang sanggup mati kerananya. Itulah sebenarnya tanda keimanan kepada junjungan besar kita, Nabi Muhammad s.a.w.

Pg selasa, 03:48, 11041420/07042009

Labels: , ,





XML

Powered by Blogger

make money online blogger templates



© 2006 TASEK PAUH blogspot | Blogger Templates by GeckoandFly.
Any part of the content or this blog can be reproduced without prior written permission.
Learn how to make money online | First Aid and Health Information at Medical Health