TASEK PAUH blogspot

Pembersihan Aqidah Pemurnian Ibadah (PAPI) bersama Us TUAN MOHD SAPUAN TUAN ISMAIL.


Pendapat TG Haji Hadi ttg mengumpat sama dengan pendapat Imam Nawawi

Sila rujuk: Riyadus Solihin

256- Bab Pada Menyatakan Mengumpat Yang Diharuskan

Berkata Imam Nawawi r.a.: Ketahuilah! Sesungguhnya mengumpat ada juga yang diharuskan kerana tujuan yang benar lagi disyariatkan yang tidak boleh dihasilkan melainkan dengan mengumpat. Ia terdapat pada enam sebab.

1 - Pengaduan penganiayaan.

Maka harus bagi orang yang dizalimi untuk mengadukan kezaliman yang dikenakan keatasnya kepada Sultan atau hakim atau sebagainya daripada orang-orang yang berkuasa untuk menyekat kezaliman tadi. Contohnya dia berkata: Si pulan ini telah menzalimiku dengan begini-begini.

2 - Meminta pertolongan untuk menegur kemungkaran dan menarik si pelaku maksiat kepada kabenaran.

Maka harus bagi seseorang menceritakan kepada orang yang diharapnya mampu untuk menghilangkan kemungkaran itu dengan katanya sebagai contoh : Si pulan itu telah buat sekian-sekian, maka kamu laranglah dia. Dan tujuannya menceritakan keburukan itu adalah untuk menghilangkan kemungkaran itu. Tetapi jika tujuannya bukan untuk itu (bahkan untuk memburuk-burukkannya) maka ia adalah haram.

3 - Bertanya hukum atau cara penyelesaian.

Maka harus baginya berkata bagi orang yang ditanyainya itu (sebagai contoh): Ayahku atau abangku atau suamiku atau si pulan telah menzalimiku dengan begini-begini. Adakah haknya berbuat demikian? Dan apakah caranya untuk aku selesaikan masalah ini, atau apakah caranya untuk aku dapatkan hak aku, atau apakah caranya untuk aku sekat kezaliman ini atau sebagainya? Semua ini adalah harus kerana hajat tadi. Tetapi yang lebih baik ialah dengan berkata: Apakah pendapatmu tentang seorang lelaki atau seseorang atau suami (tanpa menyebutkan nama dan menentukan sesiapa) yang berbuat begini-begini? Ini kerana tujuannya untuk bertanya tadi telahpun terhasil sekalipun tidak dinyatakan seseorang yang tertentu. Walau bagaimanapun menyatakan seseorang yang tertentu adalah harus hukumnya sebagaimana pada hadis riwayat Hindun yang kami akan sebut Insya Allah.

4 - Mengingatkan muslim yang lain daripada kejahatan atau menasihatinya.

Di sini banyak cabangnya. Antaranya ialah menyatakan kecacatan dan kecelaan yang terdapat pada perawi-perawi hadis atau para saksi. Maka perkara ini adalah harus dengan ijmak kaum muslimin bahkan kekadang menjadi wajib jika perlu.

Antaranya juga ialah bila diminta pandangan untuk berbesan (mencari menantu dan pasangan hidup), bersyarikat, memberikan amanah barang-barang, bergaul, berjiran atau sebagainya. Dan wajib bagi orang yang diminta pandangan itu (memberitahu segalanya dan) tidak menyembunyikan hal keadaannya yang sebenar, bahkan dia perlu memberitahu keburukan-keburukan yang ada pada orang itu dengan niat nasihat. Dan ini banyak yang disalah gunakan. Ini kerana ada yang memberitahu kepada orang lain kerana kedengkiannnya dan syaitan telah mencampur adukkan dan mengkhayalkan dia bahawa ia adalah nasihat. Maka hendaklah kita berhati-hati dengan perkara ini.

Dan termasuk dalam bab ini juga ialah seseorang pemimpin yang tidak memimpin dengan baik, samada kerana dia tidak layak atau kerana dia adalah seorang yang fasiq atau seorang yang cuai atau sebagianya. Maka wajib diberitahukan kepada orang atasannya unutk memecatnya dan menggantikannya dengan orang yang lebih sesuai atau supaya orang atasan itu mengetahui keadaannya dan memberikan tindakan yang sewajarnya dan tidak tertipu dengan tindak tanduknya. Juga supaya dia (orang atasan) memberikan dorongan kepada pemimpin itu supaya lebih istiqamah atau akan ditukar.

5 - Jika dia seorang yang jelas menunjukkan kefasiqannya atau bid’ahnya.

Contohnya orang yang menunjuk-nunjuk bahawa dia meminum arak atau orang yang terang-terang merampas harta orang ramai, memungut cukai (duit pau dan sebagainya), mengenakan cukai secara zalim atau mengetuai perkara-perkara kejahatan. Maka harus disebutkan kejahatan-kejahatan yang dilakukannya secara terang-terangan itu. Tetapi haram menyebut lain-lain keaiban yang ada padanya melainkan jika ia juga diharuskan dengan sebab-sebab lain yang kami sebutkan ini.

6 - Untuk dikenali

Apabila seseorang yang sudah masyhur dengan gelaran seperti (si pulan) yang berdener matanya atau yang tempang, yang tuli, yang buta, yang bole atau sebagainya, maka harus disebutkan pengenalan mereka tadi. Tetapi haram jika disebutnya dengan niat untuk mencelanya. Dan jika boleh mengenalinya dengan pengenalan lain yang lebih elok, maka itulah yang lebih baik.

Terjemahan penuh di sini

Labels: , ,

Ke Mana Undi Anda?

MENOLONG, SATU DOSA BESAR???

Ke Mana Undi Anda?

Antara satu perkara yang menjadi dasar kepada perhubungan sesama manusia yang dianjurkan oleh Islam ialah sikap taa’wun ataupun tolong menolong.

Pada ayat yang kedua daripada surah al-Maidah, Allah swt berfirman: Dan hendaklah kamu saling tolong menolong dalam perkara kebaikan dan ketaqwaan dan janganlah kamu tolong menolong dalam perkara dosa dan permusuhan. Ayat ini menyarankan kita supaya saling tolong menolong dalam perkara kebaikan dan ketaqwaan sahaja dan melarang kita tolong menolong dalam perkara kemaksiatan dan permusuhan. Orang yang menolong untuk melaksanakan perkara-perkara kebaikan dan ketaqwaan akan mendapat pahala kerana pertolongannya itu dan begitulah sebaliknya, iaitu akan mendapat dosa jika membantu dalam perkara kemaksiatan dan dosa. Bahkan jika dia membantu dalam melaksanakan satu kebaikan yang mana mendatangkan maslahah yang besar, maka dia akan mendapat pahala yang banyak, sebaliknya jika dia membantu dalam melaksanakan dosa yang besar iaitu dalam perkara yang membawa mafsadah atau keburukan yang besar, maka dia juga akan mendapat dosa yang besar.

Kerana itu dengan membantu, seseorang mungkin akan mendapat pahala yang banyak ataupun mungkin akan mendapat dosa yang besar. Kerana inilah saya katakan bahawa antara dosa yang paling besar yang ada pada zaman sekarang adalah dosa menolong, sekalipun dosa menolong ini tidak disebut secara jelas bahawa ia termasuk dalam dosa-dosa yang besar. Dalam dosa membunuh contohnya, seseorang lelaki yang tidaklah membunuh, tetapi dialah yang menolong untuk menjayakan pembunuhan itu, seperti diikatnya mangsa, dipegang atau dicamkannya untuk pembunuh, maka dia juga akan mendapat dosa membunuh. Berkata Imam al-Ghazali: Sesiapa yang membantu dalam kemaksiatan, maka dia adalah bersekutu dalam (dosa) maksiat itu.-lihat kitab Faidhul Qadir karangan Imam al-Manawi. Dalam satu hadis, Rasulullah s.a.w. menyatakan: “Sesiapa yang membantu mempertahankan kezaliman, maka dia akan berada dalam kemurkaan Allah, sehinggalah dia meninggalkannya”. (Riwayat Ibnu Majah, (2320, dan al-Albani menganggapnya sahih)

Dalam dosa mengumpat, bukan sahaja si pengumpat yang mendapat dosa, bahkan si pendengar juga mendapat dosa. Ini kerana dia telah membantu dalam perkara kemaksiatan, ini kerana umpatan tidak akan terjadi tanpa ada yang sanggup mendengarnya. Samalah juga halnya dengan dosa meminum arak. Bukan sahaja peminum yang berdosa, bahkan semua yang menolongnya juga berdosa seperti penjual, pembekal, pelayan dan sebagainya. Maka alangkah besarnya dosa orang yang mana dengan pertolongan dan bantuannya, tertegak dan berdiri kilang-kilang arak dengan megah, ini kerana semua arak yang diminum adalah bersumberkan kepada kilang-kilang tersebut. Dan alangkah lamanya dosanya, iaitu selama mana kilang itu masih beroperasi dan dia masih mendokongnya.

Dalam hukum memakan riba, bukan sahaja yang memakan riba itu yang berdosa, bahkan si pemberi, kerani yang mencatat juga mendapat habuannya daripada dosa tersebut. Maka, alangkah besarnya dosa orang yang dengan pertolongan dan bantuannya, terlaksananya sistem ekonomi yang menghalalkan riba dan sistem itu sentiasa berjalan dan didokongnya. Begitu juga hukumnya dengan hukum memakan rasuah. Bukan sahaja si pemakan rasuah yang berdosa, bahkan orang yang memberi juga turut berdosa dalam, kerana dialah yang memberikan rasuah tersebut. Kerana itu saya katakan antara dosa yang sangat besar dalam zaman kita sekarang adalah dosa menolong dalam perkara kemaksiatan.

Kalau kita tengok kepada keadaan muda-mudi sekarang, kita dapati kebanyakan daripada mereka telah runtuh akhlaknya. Keruntuhan akhlak muda-mudi ini sebenarnya adalah disebabkan sistem pelajaran sekarang adalah sistem pelajaran sekular dan tidak berlandaskan kepada sistem pelajaran Islam. Sistem pelajaran yang ada sekarang meggalakkan pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan. Natijahnya ialah keruntuhan akhlak muda-mudi yang kita lihat sekarang. Maka alangkah besar dosanya kalaulah kita yang membantu dan mendokong sehingga sistem sekular itu yang diguna pakai dan bukannya sistem pelajaran Islam.

Dalam suatu hadis Rasulullah s.a.w. bersabda: Sesiapa yang dengan pertolongannya boleh membawa kepada tidak terlaksananya satu hukum hudud daripada hudud-hudud Allah, maka sesungguhnya dia telah melawan Allah dalam urusanNya (pemerintahannya). (Hadis riwayat Abu Daud (3597) dan Al-Albani menganggapnya sahih). Hadis ini meyatakan bahawa sesiapa yang dengan pertolongannya boleh menyingkirkan satu hukuman hudud sahaja sudah dianggap melawan Allah, maka alangkah besarnya gerangan dosa orang yang mana dengan pertolongan dan bantuannya hukum hudud sedikit pun tidak dapat dilaksanakan bahkan dilarang untuk selama-lamanya. Kerana inilah dalam hadis yang sohih, bila mana Usamah bin Zaid, seorang yang sangat disayangi oleh Rasulullah s.a.w. meminta supaya tidak dilaksanakan hukum hudud ke atas seorang perempuan Bani Makhzum yang telah mencuri, berubah air muka Rasululllah s.a.w. kerana kemarahan dan beliau bersabda: Adakah kamu mahu untuk memberikan pertolongan supaya tidak dilaksanakan satu hudud daripada hudud-hudud Allah? … Demi Allah, kalaulah Fatimah binti Muhammad (anak perempuan kesayanganku ini) mencuri, nescaya aku akan potong tangannya. Hadis ini diriwayatklan oleh Imam Bukhari dan Muslim daripada Siti Aisyah, lihat Riyadus Solihin, karangan Imam Nawawi, bab larangan memberikan pertolongan dalam (menyingkirkan hukum) hudud.

Dalam suatu hadis, Rasulullah s.a.w. bersabda: Tolongilah saudara kamu samada dia menzalimi atau dizalimi. Lalu seorang lelaki bertanya: Wahai Rasulullah, aku akan menolongnya jika dia dizalimi. Apa pula pendapatmu jika dia yang menzalimi, bagaimana aku menolongnya? Lalu Rasulullah s.a.w. menjawab: Engkau hendaklah menegahnya daripada melakukan kezaliman itu, maka itulah cara menolongnya. Hadis sohih riwayat Imam Bukhari daripada Anas. Sila lihat Nuzhatul Muttaqin, Syarah Riyadus Solihin, jilid 1, m/s 206. Berpandukan hadis ini, maka kita diseru supaya sentiasa menolong, samada orang yang menzalimi atapun yang dizalimi dengan syarat pertolongan itu akan membawa kepada maslahah ataupun kebaikan kepada kita, agama dan juga kepada saudara seagama kita. Maka cara menolong orang yang dizalimi adalah dengan menyekatnya daripada melakukan kezaliman tersebut. Dan perlu kita faham bahawa kezaliman adalah setiap perkara yang dianggap dosa dan munkar oleh agama.

Kita diwajibkan untuk mencegah kezaliman dan kemunkaran yang dilakukan, dan bukannya sama-sama bersekongkol dan tolong-menolong dalam perkara tersebut. Rasulullah s.a.w. bersabda: Sesiapa dikalangan kamu yang melihat kemunkaran, maka cegahlah dengan tangannya, dan jika dia tidak mampu, maka cegahlah dengan lidahnya dan jika dia tidak mampu, maka cegahlah dengan hatinya. Dan itu adalah selemah-lemah iman. Hadis sohih riwayat Imam Muslim daripada Abu Said al-Khudriyy. Dikeluarkan oleh Imam Muslim dalam Kitabul Iman, bab pada menyatakan bahawa mencegah kemunkaran adalah sebahagian daripada keimanan. Lihat Nuzhatul Muttaqin, jilid 1 m/s 170.

Kerana itu, sama-samalah kita tolong menolong dalam menegakkan agama Allah, kerana di situlah keadilan dan sama-samalah kita berganding bahu untuk mencegah dan menyekat kemunkaran yang berleluasa sekarang ini. Semua ini adalah tugas dan tanggungjawab yang telah diamanahkan oleh Allah s.w.t. ke atas bahu-bahu kita. Janganlah kita berkecuali dalam hal ini dan memandang remeh tentang apa yang berlaku sekarang ini dalam masyarakat dan negara kita. Dalam suatu hadis, Rasulullah s.a.w. bersabda: Akan datang (masanya, timbulnya) pemimpin-pemimpin yang sentiasa melakukan kezaliman dan pembohongan. Maka sesiapa yang menolong kezaliman mereka dan mengiyakan pembohongan mereka, maka dia bukanlah daripada (golongan)ku dan aku bukanlah daripada (golongan)nya, dan dia tidak akan samapi ke kolam Kautharku (di akhirat). Dan sesiapa yang tidak mengiyakan pembohongan mereka dan tidak menolong mereka dalam kezaliman itu, maka aku adalah daripada (golongan)nya dan dia adalah daripada (golongan)ku dan dia akan sampai ke kolam Kautharku (di akhirat). Hadis riwayat Imam Ahmad (no. 18151, dan Syuaib al-Arnaut menyatakan bahawa isnadnya sahih).

Maka fikirkanlah situasi anda sekarang ini. Renungkanlah. Dan jawablah,: “Adakah anda bersama-sama orang yang menegakkan agama Allah atau anda berada dalam kumpulan yang mendokong dan menyokong kemungkaran”? Tinggalkanlah kumpulan yang mendokong kezaliman dan ingatlah kepada firman Allah s.w.t. yang berbunyi: Dan janganlah sekali-kali kamu condong kepada orang-orang yang zalim kerana kamu akan disentuh api neraka. Surah Hud, ayat 113.

Disediakan oleh: Tuan Mohd Sapuan Bin Tuan Ismail. Edit05030812.30/27/02/29

Labels: , , ,

Antara Aqidah Dan Pilihanraya

Antara Aqidah Dan Pilihanraya

“Pilihanraya tiada kaitan dengan persoalan di akhirat. Allah SWT tidak akan menyoal kita tentang siapakah yang kita pilih, siapakah yang kita undi kerana semua ini hanyalah perkara keduniaan semata-mata. Allah SWT hanya akan menyoal kita di akhirat tentang aqidah (dan amalan) kita. Apakah ini benar atau tidak? Allah akan soal tentang sembahyang kita, adakah ditunaikan atau tidak? Zakat kita, dikeluarkan atau tidak? Puasa kita, dilaksanakan atau tidak? Soal mengundi tidak akan ditanya di akhirat!”.

Kefahaman inilah yang mendorong saya untuk menulis artikel ringkas ini.

Pandangan sedemikian sebenarnya adalah sangat bahaya, kerana ia bercanggah dengan aqidah. Ini kerana, sebenarnya setiap perkara yang dilakukan oleh kita akan ditulis oleh para malaikat, dan kita akan disoal dan dipertanggung jawabkan di atas semua perbuatan kita. Tidak ada satu pun daripada perbuatan kita, melainkan pasti akan ditulis oleh para malaikat. Dan kita pasti akan melihatnya di akhirat, samada buruk atau baik. Firman Allah SWT:

فَمَن يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ خَيْرًا يَرَهُ {7} وَمَن يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ شَرًّا يَرَهُ {8}

Ertinya: “Sesiapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarrah sekalipun, nescaya dia akan melihat (balasan)nya. Dan sesiapa yang mengerjakan kejahatan sebesar zarrah sekalipun, nescaya dia akan melihat (balasan)nya pula”. Surah az-Zalzalah: 7-8.

Ayat suci di atas menunjukkan bahawa setiap perbuatan kita, pasti ada balasannya, sekalipun sebesar zarrah yang kecil. Hal pilihanraya yang melibatkan seluruh Negara, dari pimpinan atasan sehinggga rakyat bawahan dan memakan masa berhari-hari merupakan satu perkara yang besar, dan bukannya kecil. Firman Allah SWT:

وَوُضِعَ الْكِتَابُ فَتَرَى الْمُجْرِمِينَ مُشْفِقِينَ مِمَّا فِيهِ وَيَقُولُونَ يَا وَيْلَتَنَا مَالِ هَذَا الْكِتَابِ لَا يُغَادِرُ صَغِيرَةً وَلَا كَبِيرَةً إِلَّا أَحْصَاهَا وَوَجَدُوا مَا عَمِلُوا حَاضِرًا وَلَا يَظْلِمُ رَبُّكَ أَحَدًا {49}

Ertinya: “Dan bila diletakkanlah kitab (catatan amalan), kamu akan melihat orang-orang bersalah ketakutan terhadap apa yang (tertulis) di dalamnya, dan mereka berkata: "Aduhai celaka kami, kitab apakah ini yang tidak meninggalkan yang kecil dan tidak (pula) yang besar, melainkan ia mencatat semuanya? Dan mereka dapati apa yang telah mereka kerjakan ada (tertulis), dan Tuhanmu tidak menganiaya seorang juapun”. Surah al-Kahfi: 49.

Dalam pilihanraya, kita akan lihat betapa bersungguhnya calon-calon dan para penyokong parti-parti yang bertanding berkempen. Mereka akan menyatakan hala tuju dan tujuan masing-masing. Semua yang mereka katakan dalam kempen tersebut pasti akan dicatat dan mereka akan dipersoalkan mengenainya di akhirat. Firman Allah SWT:

مَا يَلْفِظُ مِن قَوْلٍ إِلَّا لَدَيْهِ رَقِيبٌ عَتِيدٌ {18}

Ertinya: “Tiada suatu ucapanpun yang diucapkannya melainkan ada di dekatnya malaikat pengawas yang sentiasa hadir (ada bersama)”. Surah Qaf: 18.

Kalaulah kita mengatakan bahawa urusan pilihanraya tidak akan disoal di akhirat, ini bererti kita menganggap bahawa malaikat tidak akan menulis segala perkataan dan perbuatan semasa berkempen, semenjak hari penamaan calon, atau sebelumnya lagi, sehinggalah hari pilihanraya. Maka ini jelas bertentangan dengan aqidah yang menunjukkan bahawa segala amalan kita akan dicatat oleh malaikat dan kita akan disoal mengenainya di akhirat. Allah SWT berfirman:

وَلاَ تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُولـئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْؤُولاً {36}

Ertinya: “Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan disoal (diminta pertanggung jawabannya di akhirat)”. Surah al-Isra’: 36.

Dan apa yang lebih menyedihkan saya ialah, berbanding fahaman tadi, jawapan seorang makcik (Mak Nik) semasa hari penamaaan calon 24 Febuari lepas ketika ditanya: Mak Nik tak pergi ke tempat orang berhimpun ke? Dia menjawab: Tempat berhimpun apa? Si penanya: Tempat orang laungkan “Allahuakbar, Allahuakbar” (dia maksudkan tempat penamaan calon). Mak Nik menjawab: “kalau “Allahuakbar, Allahuakbar” Mak Nik tak sir (tak nak), tapi kalau “Hidup Pak Lah”, Mak Nik nak.

Lihatlah betapa dia (disebabkan kejahilannya, dan tanpa dia sedari) telah jauh lari daripada aqidah yang sebenar, sehingga dia telah tertukar antara Allah dan makhluk. Tidakkah semua yang hidup ini bergantung kepada Allah? Walau siapa dia sekalipun? Allah SWT sahaja yang layak disembah, dan Dia sahaja tempat pergantungan yang sebenar.

Kalaulah urusan pilihanraya juga akan dipersoalkan di akhirat, maka gunakanlah ia untuk kebaikan Islam. Kalaulah kita ingin berkempen, maka berkempenlah dengan bersungguh-sungguh untuk parti yang membawa kita kepada ajaran Allah, iaitu Islam. Firman Allah SWT:

وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلًا مِّمَّن دَعَا إِلَى اللَّهِ وَعَمِلَ صَالِحًا وَقَالَ إِنَّنِي مِنَ الْمُسْلِمِينَ {33}

Ertinya: “Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, dan dia mengerjakan amal soleh, dan berkata: "Sesungguhnya aku adalah di kalangan orang-orang Islam (yang menyerah diri kepada Allah)”? Surah Fussilat: 33.

Kalaulah urusan pilihanraya juga akan disoal di akhirat, maka janganlah sistem demokrasi ini digunakan untuk menafikan Islam, dan menafikan ajaran Allah dan RasulNya. (Sebagai contoh, pada tahun lepas, berpuluh-puluh ribu rakyat Turki mengadakan tunjuk persaaan meyatakan kebimbangan sistem sekular yang diamalkan akan ditukar kepada sistem Islam jika berlaku perubahan pucuk pimpinan) Gunakanlah untuk kemenangan Islam, dan janganlah digunakan untuk memilih calon daripada parti-parti yang akan menafikan hukum hakam Allah dalam sistem perundangan, pendidikan dan sebagainya. Renungkanlah firman Allah SWT yang berbunyi:

الَّذِينَ آمَنُواْ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ اللّهِ وَالَّذِينَ كَفَرُواْ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ الطَّاغُوتِ فَقَاتِلُواْ أَوْلِيَاء الشَّيْطَانِ إِنَّ كَيْدَ الشَّيْطَانِ كَانَ ضَعِيفًا {76{

Ertinya: “Orang-orang yang beriman berperang di jalan Allah, dan orang-orang yang kafir (pula) berperang di jalan Thaghut. Kerana itu perangilah kawan-kawan syaitan itu, kerana sesungguhnya tipu daya syaitan itu adalah lemah”. Surah an-Nisa’: 76.

Dan bagi pejuang-pejuang Islam, yang sanggup berpenat lelah kerana Islam, maka sebenarnya Allah bersamamu, dan Dia sekali-kali tidak akan bersama musuhmu. Senyumlah kerana itu, kerana sinar yang cerah bergemerlapan berada di hadapanmu. Allah SWT berfirman:

وَلاَ تَهِنُواْ فِي ابْتِغَاء الْقَوْمِ إِن تَكُونُواْ تَأْلَمُونَ فَإِنَّهُمْ يَأْلَمُونَ كَمَا تَأْلَمونَ وَتَرْجُونَ مِنَ اللّهِ مَا لاَ يَرْجُونَ وَكَانَ اللّهُ عَلِيمًا حَكِيمًا {104}

Ertinya: “Janganlah kamu berhati lemah dalam mengejar mereka (musuhmu). Jika kamu menderita kesakitan, maka sesungguhnya mereka juga menderita kesakitan, sebagaimana kamu menderita, sedangkan kamu mengharap dari pada Allah apa yang tidak mereka harapkan. Dan adalah Allah Maha mengetahui lagi Maha Bijaksana”. Surah an-Nisa’: 104.

Tuan Mohd Sapuan Tuan Ismail. Isnin, 03am03032008/25021429

Labels: , ,

Siti untuk BN, Kita tinggalkan BN.... dan Siti

REMBAU, 3 Mac - "Pilih dengan bijak," demikian nasihat penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin kepada 10.9 juta pengundi yang akan mengundi di seluruh negara Sabtu depan.

Siti yang ditemani suami, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa yang lebih dikenali dengan panggilan "Datuk K" berkata mengundi adalah tanggungjawab setiap rakyat dalam menentukan masa depan negara, maju ke hadapan atau sebaliknya.

"Pada 8 Mac ini, mari kita keluar beramairamai mengundi. Undian kita amat bermakna kepada negara, pilih (calon) yang terbaik demi masa depan kita dan masa depan generasi akan datang," katanya.

Turut hadir ialah Pengerusi Penyayang, Nori Abdullah, yang juga isteri Naib Ketua Pemuda Umno dan calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin.

Tanpa menyatakan sokongan kepada mana-mana pihak, Siti yang tampak ringkas mengenakan tudung biru, blouse putih dan seluar jeans berkata pengundi perlu menilai calon dengan teliti dan memilih pemimpin yang terbaik.

Siti membuat penampilan khas pada karnival yang bertujuan memupuk hubungan erat antara anggota keluarga melalui penyertaan pelbagai aktiviti pada 12 tengah hari sebelum mengadakan sesi menandatangani autograf buat peminatnya, selama lebih 40 minit, di sebelah kanan pentas utama di Dataran Rembau.

Dalam sesi itu, Siti menurunkan autografnya di atas penanda buku "Keluarga Bahagia: Nadi Kesejahteraan Negara" yang juga memaparkan gambar Khairy dan Nori serta anak lelaki pasangan itu, Jibreil Ali Jamaluddin Abu Bakar, 5 bulan.

Semalam, penyanyi nombor satu negara itu turut menemani suaminya yang memberikan sokongan kepada calon BN bagi kerusi Parlimen Tampin Datuk Shaziman Abu Mansor di Taman Gemas Indah, Gemas.

Khalid berkata beliau dan isterinya akan turun ke beberapa negeri, termasuk Pahang, Negeri Sembilan dan Perak bagi memberikan sokongan moral kepada beberapa kenalan mereka yang menjadi calon termasuk Khairy.

"Saya percaya Shaziman dan Khairy akan mendapat sokongan pengundi.Saya seru pengundi membuat pilihan dengan bijak dan hati-hati... Jangan perjudi masa depan negara," katanya yang akan mengundi di kawasan Parlimen Titiwangsa, Kuala Lumpur.

Kerusi Parlimen Rembau yang mempunyai 62,896 pengundi, menyaksikan pertandingan satu lawan satu di antara Khairy, 32, dengan anggota majlis tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Badrul Hisham Shaharin, 30. - BERNAMA

Labels: , , ,

TG Nik Aziz di Hotel Nikko 2 Mac

Nik Aziz bertemu anak Kelantan di perantauan malam esok

KUALA LUMPUR, 1 Mac (Hrkh) - Satu majlis pertemuan antara MB Kelantan, Tuan Guru Dato' Hj Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan anak-anak Kelantan di perantauan akan diadakan pada malam esok (2 Mac) di Hotel Nikko, Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

Majlis anjuran Persatuan Anak-anak Kelantan di Perantauan atau Perakan yang bermula pada jam 8.00 malam itu adalah bagi membuktikan sokongan anak-anak Kelantan terhadap kepimpinan ulama di Kelantan yang telah menerajui negeri itu sejak 18 tahun lalu.

Justeru, pihak penganjur menyeru kepada seluruh anak-anak Kelantan di Lembah Klang untuk hadir sebagai menunjukkan tanda sokongan yang tidak berbelah bahagi menjelang pilihan raya ke-12 ini

Labels: , , , ,

Pilihanraya PRU12 - al Jazeera 101 East

Part 1: Pilihanraya yang adil?



Part 2: Anda percaya BN?

Labels: , , ,





XML

Powered by Blogger

make money online blogger templates



© 2006 TASEK PAUH blogspot | Blogger Templates by GeckoandFly.
Any part of the content or this blog can be reproduced without prior written permission.
Learn how to make money online | First Aid and Health Information at Medical Health